Definisi Hibah Suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan. Dalil Pensyariatan Hibah Al-Quran Firman Allah SWT: فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا Yang bermaksud: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 4) Al-Hadis Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: تَهَادُوا تَحَابُّوا Yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat Al-Bukhari) Rukun Hibah Pemberi hibah; Penerima hibah; Barang yang dihibah; dan Sighah (lafaz akad hibah) Syarat Pemberi Hibah Pemilik kepada barangan; Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah; dan Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya. Syarat Penerima Hibah Berkelayakan menerima hibah termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Namun, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka; Penerima hibah wujud ketika hibah dibuat; dan Boleh menguasai harta yang dihibahkan (qabd). Syarat Barang Yang Dihibah Wujud ketika hibah dibuat; Barangan tersebut mestilah barangan yang bernilai; dan Mestilah daripada hak milik pemberi hibah. Syarat Akad Hibah Ijab dan qabul; dan Tidak bertempoh. Kadar Harta Yang Boleh Dihibah Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: اتَّقوا اللهَ، واعدِلوا بين أولادِكم Yang bermaksud: “Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari) Elemen Qabd Dalam Hibah Qabd adalah tindakan penerima hibah untuk menerima serahan, memegang atau menguasai barang yang dihibahkan oleh penghibah dan menjadikan barang itu milikannya. Qabd merupakan keperluan kepada hibah itu berkuatkuasa dan penerima hibah melakukan tasarruf. Hibah Semasa Marad Al-Maut Pemberi hibah yang melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut iaitu keadaan di mana pemberi hibah sedang sakit tenat atau sakit yang membawa kepada kematian, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Ini memberi maksud bahawa hukum wasiat adalah terpakai. Sekiranya diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris yang lain. Pembatalan Hibah Hukum asal hibah adalah memberi implikasi pemilikan yang lazim kepada penerima hibah. Oleh itu, pembatalan hibah adalah tidak boleh dilakukan. Ia sebagaimana hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: فإنَّ العائدَ في هبتِه كالكلبِ يعودُ في قيئِه Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Riwayat al-Bukhari) Namun, para fuqaha’ memberikan pengecualian iaitu dengan mengharuskan pembatalan hibah daripada seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه Yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud) Perkhidmatan Hibah di MAIS Pengurusan Hibah MAIS berbidang kuasa dan berkepakaran menyediakan perkhidmatan penyediaan Dokumen Perisytiharan Hibah dan pelaksanaan hibah selaras dengan Hukum Syarak dan undang-undang sedia ada. Penyediaan Dokumen Perisytiharan Hibah Penyediaan dokumen hibah perisytiharan hibah adalah satu kaedah yang membolehkan harta seseorang diisytiharkan untuk diagihkan kepada insan yang tersayang pada masa hidupnya terlebih dahulu. Jenis-Jenis Hibah Hibah Mutlak; Hibah Amanah; dan Hibah Bersyarat Klausa Utama dalam Hibah Pengakuan waras fikiran dan kerelaan pemberi hibah; Perisytiharan harta yang ingin dihibahkan; Pernyataan pemberian harta yang dihibahkan; Pelantikan Wasi dan Pemegang Amanah; Tandatangan pemberi hibah dan saksi-saksi; dan Tandatangan perakuan persetujuan penerima hibah dan saksi-saksi. Fi Penyediaan dan Penyimpanan Dokumen Perisytiharan Hibah